Adakah Contract Of Service bersamaan Contract For Service?
Tidak! Mari kita baca apakah perbezaannya.
UNDANG-UNDANG BURUH
Cindy Lee Nian Cie
4/26/20251 min read


Contract of Service vs Contract for Service
Sebagai seseorang yang dilantik kerja, adalah penting untuk memeriksa Surat Pelantikan ("Offer Letter") sebelum menandatanganinya. Sesetengah orang mungkin keliru di antara Contract of Service ("COS") dan Contract for Service ("CFS"). Kedua-dua jenis perjanjian tersebut berbunyi sama tetapi sebenarnya dua-dua adalah benda yang berbeza! Mari kita bersama-sama meninjau perbezaan berikut:
Perlindungan di bawah Akta Kerja 1955
COS adalah suatu perjanjian kerja. Tanpa perjanjian kerja, maka tiada perhubungan majikan-pekerja di antara anda dengan majikan. Jika anda telah dilantik kerja di bawah COS, maka anda adalah seorang "pekerja" di bawah maksud dalam Akta kerja 1955. Pendek kata, anda dilindungi Akta Kerja 1955.
Apakah yang dimaksudkan dengan perlindungan di bawah Akta Kerja 1955? Maksudnya, anda berhak kepada hak-hak di bawah Akta Kerja 1955, termasuklah pembayaran gaji, cuti bersalin (bagi si bapa & si ibu), dan pencaruman EPF dan SOCSO.
Manakala, jika anda dilantik kerja di bawah CFS, anda bukan seorang "pekerja" seperti yang dimaksudkan di bawah Akta Kerja 1955. Anda adalah seorang "kontraktor" dan tidak dilindungi di bawah Akta Kerja 1955. Pendek kata, anda boleh dikatakan seperti "pekerja sambilan separuh masa".
Kawalan terhadap orang yang dilantik
Di bawah COS, majikan mempunyai kawalan yang besar terhadap pekerjanya: termasuklah waktu kerja, cuti dan aturan-aturan disiplin.
Di bawah CFS, majikan tidak mempunyai kawalan atau kawalan yang besar terhadap kontraktor.
Pembayaran gaji
Di bawah COS, gaji wajib dibayar mengikut waktu yang tertentu seperti di dalam perjanjian (jika dinyatakan), atau mengikut peruntukan di bawah Akta Kerja 1955.
Di bawah CFS, kontraktor biasanya mengisu invois sebelum menerima bayaran gaji daripada majikan.
EPF & SOCSO
Di bawah COS, adalah wajib bagi majikan untuk membuat caruman EPF & SOCSO bagi anda. Jika majikan anda gagal berbuat demikian, maka anda mempunyai hak sebagai seorang pekerja untuk membuat aduan ke Jabatan Tenaga Kerja yang berdekatan.
Di bawah CFS, majikan tidak diwajibkan membuat caruman EPF & SOCSO.
Jika anda masih keliru tentang perbezaan kedua-dua jenis perjanjian di atas dan memerlukan khidmat nasihat guaman, sila hubungi kami.